KUALA TERENGGANU: Projek hibrid hidro dan solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, dekat sini bakal muncul antara yang terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti awal 600 megawatt (MW), sekali gus mengangkat Terengganu sebagai hab pengeluaran tenaga hijau utama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek fasa pertama itu melibatkan pelaburan kira-kira RM1.96 bilion dan dilaksanakan menerusi usaha sama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Genco.
Kata beliau, Terengganu Inc. memegang 30 peratus kepentingan dalam projek berkenaan bagi memastikan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dalam pembangunan berskala besar di negeri ini.
“Fasa pertama projek ini melibatkan kapasiti penjanaan 600MW selain dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (Battery Energy Storage System) berkapasiti kira-kira 1.2 gigawatt (GW). Secara keseluruhan, projek ini berpotensi menjana sehingga 2.5GW dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Terengganu Inc, di sini.
Beliau berkata, projek tersebut dijangka menarik pelaburan mencecah RM10 bilion, sekali gus memberi limpahan ekonomi yang besar kepada negeri termasuk peluang pekerjaan dan aktiviti sokongan.
“Bagi fasa pertama sahaja, projek ini akan melibatkan kira-kira 5,000 pekerja dalam tempoh pembinaan selama dua tahun. Impak ekonomi turut dirasai melalui perbelanjaan harian pekerja, penginapan, makanan serta sektor perkhidmatan lain,” ujarnya.
Burhanuddin Hilmi berkata, tenaga yang dijana daripada projek tersebut akan dijual kepada pihak industri termasuk pusat data sekali gus mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada Terengganu Inc dan TNB.
Katanya, bagi tempoh 21 tahun, projek itu dijangka menjana pendapatan sekitar RM6 bilion bagi kapasiti 600MW sahaja.
“Jika keseluruhan kapasiti 2.5GW direalisasikan, potensi hasil boleh mencecah sehingga RM25 bilion,” katanya. – UTUSAN










