Politeknik Ungku Omar catat prestasi cemerlang PITRAM 2026

Politeknik Ungku Omar catat prestasi cemerlang PITRAM 2026

Politeknik Ungku Omar meraikan kejayan mereka selepas mencatat prestasi cemerlang dalam PITRAM 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Politeknik Ungku Omar (PUO) sekali lagi membuktikan kecemerlangan dalam bidang inovasi apabila berjaya meraih dua pingat emas, empat perak dan satu pingat gangsa dalam Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM) 2026 yang diadakan di UiTM Puncak Alam, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut meletakkan PUO sebagai antara penyumbang utama kecemerlangan kontinjen Politeknik Malaysia dalam pertandingan berprestij yang menghimpunkan pelajar asasi daripada universiti awam, politeknik dan kolej matrikulasi seluruh negara.

PITRAM merupakan platform inovasi kebangsaan yang menekankan pembangunan idea kreatif dan penyelesaian interdisiplin berteraskan Sains Terknologi Kejuruteraan Seni dan Matematik (STEAM) selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Dua projek yang meraih pingat emas oleh pasukan PUO ialah Track My Student Computer Lab (TMSCL) dan PINJAMPRO, yang masing-masing memfokuskan kepada pendigitalan sistem pengurusan dalam persekitaran pendidikan.

TMSCL merupakan satu inovasi sistem pengurusan makmal komputer yang memperkenalkan kaedah digital bagi merekod dan memantau penggunaan fasiliti secara lebih cekap, sistematik dan selamat. Inovasi berkenaan membantu meningkatkan kecekapan operasi serta kebolehjejakan aset di institusi pendidikan.

Sementara itu, PINJAMPRO ialah aplikasi pengurusan peminjaman peralatan yang memudahkan proses pinjaman melalui pendekatan digital yang lebih pantas dan teratur. Sistem ini menyumbang kepada pengurangan kesilapan manual serta meningkatkan kecekapan pengurusan peralatan.

Selain itu, aplikasi PINJAMPRO telah menerima pengiktirafan melalui pendaftaran hak cipta daripada Pertubuhan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta dianugerahkan pingat emas dalam pertandingan tersebut.

Kedua-dua inovasi berkenaan mencerminkan keupayaan pelajar PUO dalam menghasilkan solusi praktikal berasaskan teknologi yang relevan dengan keperluan semasa, tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan pemilikan intelektual.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh berkata, kejayaan tersebut mencerminkan keupayaan pelajar PUO dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, tetapi juga relevan dan mampu memberi impak nyata kepada sistem pengurusan pendidikan.

“Ia selari dengan aspirasi institusi dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, inovatif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan, “ ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut adalah hasil sinergi erat antara pelajar dan pensyarah dalam membudayakan penyelidikan gunaan serta inovasi berterusan di peringkat akar umbi.

Kejayaan cemerlang itu bukan sahaja mengharumkan nama PUO, malah mengukuhkan lagi peranan politeknik sebagai peneraju pendidikan TVET dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN