LARUT: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali ‘geng Daud’ yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Batu Kurau selepas lima suspek termasuk ketua kumpulan diberkas dalam beberapa tangkapan awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, kes terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada pekerja sebuah syarikat telekomunikasi pada 28 Februari lalu berhubung kehilangan kabel dan peralatan di sebuah pencawang, susulan gangguan talian di kawasan berkenaan sehari sebelumnya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama menahan seorang lelaki tempatan pada 2 April sebelum tangkapan susulan membawa kepada penahanan dua lagi lelaki termasuk seorang warga asing yang dipercayai ahli kumpulan terbabit di Batu Kurau dan Kamunting.
“Seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai pembeli barangan curi turut ditahan pada 3 April, manakala ketua kumpulan berjaya diberkas di Hutan Melintang pada 7 April.
“Siasatan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala warga asing dan pembeli barangan curi tidak mempunyai rekod terdahulu. Kesemua suspek berumur antara 30 hingga 48 tahun.
“Hasil soal siasat mendapati kegiatan mencuri kabel ini dilakukan bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai memperoleh pengetahuan melakukan kegiatan itu melalui media sosial, termasuk aplikasi video di internet, selain mempunyai kemahiran tertentu dalam mengendalikan kabel berarus elektrik.
Beliau berkata, suspek didapati menggunakan bahan penebat seperti kain untuk mengelakkan renjatan elektrik ketika memotong kabel, selain mengubah suai peralatan seperti pisau dan pemotong besi bagi memudahkan kerja.
“Siasatan mendapati aktiviti curi kabel biasanya diproses di kawasan ladang kelapa sawit namun kumpulan berkenaan memprosesnya dirumah suspek warga asing sebelum dijual di kedai barang lusuh,” katanya.
Menurut beliau, kesemua suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 9 dan 10 April lalu mengikut Seksyen 431A, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta tambahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi suspek warga asing.
“Empat tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah dan kesnya ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Mei ini,” katanya. – UTUSAN










