TUMPAT: Polis menahan 11 individu bagi membantu siasatan kes memukul seorang lelaki beramai-ramai di Wakaf Bharu di sini sehingga tular dalam media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner, Mohd. Khairi Shafie berkata, pergaduhan itu dipercayai kerana selisih faham keluarga sehingga seorang lelaki dipukul beramai-ramai.
Katanya, semua 11 individu berusia antara 18 tahun hingga 67 tahun yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai dijalankan.
“Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 36 tahun akan didakwa di Mahkamah Tumpat Ahad ini di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan secara telus, profesional dan menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atau tidak disahkan oleh pihak berkuasa. Penyebaran maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan serta menggugat ketenteraman awam,” ujarnya. – UTUSAN










