Polis siasat kejadian tumbuk pemandu bas di JRTB - Utusan Malaysia

Polis siasat kejadian tumbuk pemandu bas di JRTB

TANGKAP layar insiden pertengkaran yang tercetus selepas kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori ayam di Kilometer 28.8, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden pertengkaran yang tercetus selepas kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori ayam di Kilometer 28.8, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, pemandu kedua bas berusia 32 tahun telah ditumbuk di bahagian pipi sebelah kanan oleh pemandu lori lain.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik sebelum dibenarkan pulang.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku di kawasan selekoh apabila sebuah bas dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah Lumut ke Terengganu, bergesel dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Jeli ke Gerik.

“Perlanggaran itu menyebabkan kerosakan pada cermin sisi bas dan tingkap sebelah kanan lori.

“Dalam kejadian itu, pemandu bas meneruskan perjalanan kerana lokasi kejadian tidak sesuai untuk memberhentikan kenderaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan seorang lagi pemandu lori berusia 49 tahun yang menyaksikan kejadian bertindak menghubungi rakan pemandu lori lain untuk membantu menahan bas berkenaan.

Katanya, bas tersebut berjaya ditahan kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian menghala ke Hentian Titiwangsa.

“Ketika itu, pemandu kedua bas telah keluar sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada insiden tumbuk,” katanya.

Tambahnya, kes kemalangan disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 manakala kes mendatangkan kecederaan pula disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video kejadian yang tular di media sosial kerana penyebaran maklumat tidak sahih boleh mengelirukan masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN