PETALING JAYA : Keterangan empat saksi telah diambil polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera diserang dalam operasi di premis cuci kereta di Jalan Kerinchi, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, individu berkenaan terdiri daripada tiga rakan sekerja pengadu dan seorang pekerja premis cuci kereta.
Menurutnya, suspek berusia 46 tahun itu sedang giat dikesan dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan lapan rekod jenayah dan empat dadah.
“Suspek bukan pekerja di kedai cuci kereta berkenaan. Suspek yang juga penganggur itu kini sedang giat dikesan untuk tindakan lanjut.
“Senjata jenis pisau rambo yang digunakan suspek dalam kejadian itu dipercayai masih berada dengannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Chang Hook berkata, pegawai AADK berusia 48 tahun itu dijangka akan dibenarkan keluar hospital, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324/186 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi.
Semalam media melaporkan pegawai AADK cedera diserang dalam operasi di premis cuci kereta di Jalan Kerinchi.
Pegawai lelaki itu luka di tapak tangan dan ibu jari kanan akibat dihiris dengan pisau oleh lelaki dipercayai penagih dadah.
Suspek pada mulanya sudah ditahan dan diarah melakukan ujian saringan air kencing namun lelaki itu enggan sebelum bertindak agresif serta melarikan diri. – UTUSAN










