PETALING JAYA: Perodua menyokong penjelasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai Dasar Automotif Negara (NAP) bertujuan memacu pelaburan strategik demi manfaat ekonomi negara.
Syarikat itu menyifatkan garis panduan itu mampu menjamin limpahan ekonomi kepada semua pihak berkepentingan.
Manfaat ekonomi itu termasuklah peluang pekerjaan jangka panjang, pelaburan dalam prasarana, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian teknologi serta pembangunan usahawan tempatan termasuk pembekal dan pengedar.
“Visi Next Generation Vehicle (NxGV) dalam NAP dijangka membolehkan rakyat menikmati nilai dan inovasi mobiliti lebih baik, termasuk perkhidmatan industri lebih luas, keselamatan dipertingkat serta integrasi mudah alih berasaskan teknologi internet.
“Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada digariskan Miti berfungsi sebagai panduan komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, MITI menjelaskan berkaitan dakwaan BYD menilai semula rancangan untuk membuka kilang pemasangan tempatan bagi operasi sepenuhnya (CKD) di Tanjung Malim, Perak.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dasar EV kementerian itu dikenakan secara sama rata dan syarat yang dikenakan ke atas BYD tidak unik kepada pengeluar kereta China itu.
Johari turut berkata, kerajaan kekal terbuka terhadap pelaburan automotif dari China, sambil menekankan bahawa 14 daripada 34 pengeluar kereta asing di pasaran Malaysia adalah dari China.
Persatuan Pengeluar Alat Ganti Automotif Malaysia (MACPMA) turut menyokong dasar MITI itu yang dilihat konsisten kepada semua pelabur.
Presiden MACPMA, Chin Jit Sin berkata, dasar-dasar itu menekankan eksport, penyetempatan dan integrasi dengan rantaian bekalan domestik, untuk memperkukuh asas industri Malaysia dan daya saing perdagangan negara.
“Pendekatan ini kritikal untuk mengekalkan dan memperkukuh ekosistem pembekal yang telah dibina melalui dekad pelaburan dan pembangunan industri.
“MACPMA bersetuju dengan MITI bahawa dasar ini bersifat pembangunan dan bukan proteksionis, memastikan pelaburan asing melengkapi serta memperkukuh pemain industri tempatan sambil mewujudkan nilai lestari sepanjang rantaian nilai automotif,” katanya. – UTUSAN











