KUALA LUMPUR: Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat Mara Malaysia) melancarkan Pertandingan Pidato Piala Pengerusi Mara 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertandingan itu digerakkan bagi membentuk pelajar yang mempunyai kewibawaan artikulasi dan keberanian untuk berhadapan dengan masyarakat.
Menurutnya, platform itu akan mencungkil bakat pelajar dari 345 institusi pendidikan di bawah Mara dalam usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi petah berbicara.
“Sebanyak 102 penyertaan telah diterima melibatkan pelbagai Institusi Pendidikan Mara (Ipma) termasuk TVETMara, Kolej Mara, Kolej Profesional Mara, Kolej Poly-Tech Mara, Mara Japan Industrial Institute (MJII) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Daripada jumlah tersebut, seramai 40 finalis yang terdiri daripada 15 finalis kategori kolej dan 25 finalis kategori MRSM telah terpilih bagi merebut hadiah berupa trofi dan simpanan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) keseluruhan berjumlah RM10,000,” katanya selepas meluncurkan pertandingan itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, pertandingan pidato itu memberi ruang kepada Mara untuk mencungkil bakat sedia ada dalam kalangan pelajar di bawah ekosistem pendidikan secara lebih menyeluruh.
Tambahnya, kewibawaan seseorang pelajar perlu dibangunkan secara holistik agar mereka bukan sahaja hebat dalam akademik, malah memiliki sahsiah, adab dan keyakinan diri yang tinggi. 
“Pencapaian akademik yang membanggakan tidak akan membawa makna besar sekiranya pelajar gagal menyerlahkan potensi diri apabila berdepan sesi temu duga atau khalayak awam. 
“Oleh itu, pertandingan pidato ini adalah sebagai satu inisiatif penting untuk membina keberanian, memantapkan kemahiran komunikasi dan memperkukuh pembentukan sahsiah pelajar Mara,” katanya.
Program dijadualkan berlangsung pada 26 April ini bertempat di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – UTUSAN











