GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk meraih kemenangan pada aksi final pertama Piala Cabaran di laman sendiri tidak kesampaian apabila diikat 1-1 oleh Sabah FC pada masa kecederaan.
Keputusan seri itu bermakna, skuad Harimau Kumbang kini berdepan tugas berat untuk menewaskan Sang Badak dalam aksi final kedua di Sabah pada 19 April nanti.
Terdahulu, kedua-dua pasukan bermula baik apabila saling berbalas serangan terutamanya pada babak pertama perlawanan.
Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan menggagalkan hasrat mereka untuk memperolehi gol.
Masuk babak kedua, Penang FC dilihat lebih agresif untuk memburu gol apabila melancarkan serangan bertali-arus ke kubu pelawat.
Hasilnya, gol yang ditunggu akhirnya menjelma pada minit ke-70 apabila Dylan Wenzel-Halls bijak memanfaatkan bola umpanan pemain pertahanan, Obilor Faith Friday untuk gol pertama perlawanan.
Ketika Penang FC hampir meraikan kemenangan, penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid melakukan kesilapan apabila menjatuhkan pemain pertahanan Sabah, Gabriel Peres dalam kotak penalti.
Peres yang mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol penyamaan sekali gus mengecewakan hampir 9,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.-UTUSAN










