PGA serbu kilang proses plastik, rampasan RM8.5 juta - Utusan Malaysia

PGA serbu kilang proses plastik, rampasan RM8.5 juta

KILANG memproses plastik yang diserbu PGA dalam Op Taring Alpha 5 di Sungai Siput semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan kegiatan memproses plastik di sebuah kilang haram di Batu 4, Jalan Lintang di sini menerusi serbuan dalam Op Taring Alpha 5 yang dijalankan semalam.

Operasi melalui Cawangan Risik Batalion 3, Briged Utara PGA itu melibatkan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi pada pukul 12 tengah hari itu membawa kepada tangkapan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai pemilik premis.

Katanya, pemeriksaan bersama JAS mendapati premis tersebut dijadikan lokasi pemprosesan material plastik terpakai tanpa lesen atau kelulusan daripada JAS.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut telah memasang serta mengendalikan
beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa sebarang notifikasi dan kelulusan JAS.

“Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar longgokkan plastik, sama ada yang belum diproses dan telah siap diproses serta beberapa jentera dan mesin yang digunakan dalam aktiviti pemprosesan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi melebihi tiga tahun dengan bekalan sisa plastik diperoleh dari kawasan perindustrian sekitar Kulim, Kedah.

Katanya, fasiliti di dalam premis itu juga didapati digunakan untuk memproses bahan plastik separa siap sebelum dihantar ke Lembah Klang bagi tujuan penghasilan resin.

“Dalam operasi itu, pelbagai jentera, mesin dan peralatan memproses plastik dirampas selain 100,000 kilogram (kg) longgokan plastik belum diproses dan 45,000kg plastik separa siap.

“Jumlah kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM8,500,000,” katanya.

Tambah beliau, kes telah diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024 kerana kegagalan mengemukakan laporan mengenai kesan aktiviti pemprosesan plastik terhadap alam sekitar.

Katanya, pihak berkenaan juga telah mengambil tindakan penahanan operasi kelengkapan ke atas mesin basuhan sisa plastik yang mencemar di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pihak Briged Utara menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah.

“Risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti, membanteras dan mengekang sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN