Peserta konvoi maut nahas membabitkan motosikal, lori - Utusan Malaysia

Peserta konvoi maut nahas membabitkan motosikal, lori

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat nahas dengan sebuah lori di Kilometer 281.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perjalanan konvoi sekumpulan penunggang motosikal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ke Sungkai berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 281.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.

Mangsa, Mohamad Irfan Noor Azam, 21, yang mengalami kecederaan parah, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.45 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori dipandu lelaki berusia 54 tahun sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah Bercham menghala ke Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha Y16ZR ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai gagal dikawal sebelum melanggar bucu kanan belakang kenderaan berat tersebut.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan konvoi motosikal yang dalam perjalanan dari Nibong Tebal ke Sungkai.

“Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom dan pihak polis akan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori untuk siasatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN