Pesawah di Langkawi dapat permit khas beli diesel

Pesawah di Langkawi dapat permit khas beli diesel

HASSIM Saad (kanan) menyampaikan memorandum untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Zuraidi Rahim pada sidang akhbar di Pusat Belian Padi, Kilang Bernas Bukit Hantu, Langkawi, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Lebih 1,000 orang pesawah di Pulau Langkawi bakal menerima permit khas untuk membeli diesel bagi kegunaan jentera pertanian berkaitan padi.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Mohd. Aizat Rostam berkata, subsidi itu akan disasarkan kepada pesawah yang mempunyai jentera atau lori yang digunakan bagi kerja-kerja menanam padi.

“Pesawah yang layak perlu mengemukakan geran atau surat jual beli jentera bagi membuktikan mereka layak untuk menerima permit khas ini.

“Satu kaunter khas akan dibuka di PPK oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi permohonan permit khas ini,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Belian Padi, Kilang Bernas Bukit Hantu, di sini, hari ini.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan lebih 1,000 pesawah di Langkawi berkemungkinan terpaksa menangguhkan aktiviti penanaman padi musim 1/2026 ekoran kenaikan kos penanaman mencecah 40 peratus berikutan peningkatan harga diesel.

Jelas Mohd. Aizat, tarikh pembukaan kaunter bagi permohonan permit khas tersebut akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Pengerusi PPK Langkawi, Hassim Saad berkata, permit khas ini akan mambantu meringankan beban pesawah yang terkesan dengan peningkatan harga diesel di pasaran.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan permit khas ini kepada pesawah. Permit ini sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban mereka terutamanya dengan kenaikan harga minyak diesel ketika ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pemberian permit khas ini adalah sebagai bukti kerajaan akan terus membela nasib rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga minyak.

“Saya berharap dengan pembukaan kaunter tersebut nanti pihak yang terlibat dapat menjadi pemudahcara bagi memastikan nasib pesawah ini terbela.

“Bagaimanapun, pesawah perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang diminta untuk mendapatkan permit ini bagi mengelakkan kes penyelewengan berlaku,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN