PETALING JAYA: Hospital Tunku Azizah (HTA) mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan seorang personel MySTEP berhubung kes penipuan melibatkan pegawai perubatan siswazah (PPS) yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM47,120.
Pihak hospital memaklumkan, individu berkenaan turut disekat daripada mengakses sistem dan fasiliti hospital bagi menjamin keselamatan data serta integriti jabatan, selain memastikan kebajikan doktor muda terus terpelihara.
Tiada sebarang kutipan wang tunai atau pindahan ke akaun peribadi kakitangan dibenarkan bagi urusan rasmi termasuk bayaran balik emolumen atau yuran kursus.
“Personel MySTEP tersebut juga tidak pernah diberi kuasa berkaitan kewangan oleh pihak HTA. Pengurusan hospital memandang serius laporan berhubung dakwaan penipuan yang mengakibatkan kerugian RM47,120 melibatkan kira-kira 190 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, HTA telah menamatkan perkhidmatan individu terbabit serta menyekat semua aksesnya ke sistem dan fasiliti hospital.
Pada masa sama, sesi libat urus secara bersemuka bersama PPS yang terkesan telah diadakan bagi mendengar aduan serta mengumpul maklumat lengkap transaksi bagi membantu siasatan lanjut.
Pengurusan hospital memaklumkan kes tersebut telah dilaporkan kepada polis dan siasatan sedang dijalankan.
HTA juga memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus dan adil.
Menurut kenyataan itu, HTA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga kerja yang terlibat dalam salah laku integriti atau aktiviti jenayah yang menjejaskan kebajikan kakitangan lain serta reputasi Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kami menghargai dedikasi para PPS yang bertugas tanpa mengira masa dan tidak akan membiarkan integriti hospital dicemari oleh tindakan tidak bertanggungjawab mana-mana individu.
“Kebajikan warga kerja HTA kekal menjadi keutamaan dalam memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










