Perpustakaan Negara rekod lebih enam juta bahan bacaan

Perpustakaan Negara rekod lebih enam juta bahan bacaan

AARON Ago Dagang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 6,027,685 naskhah bahan bacaan direkodkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) termasuk yang diterima melalui Akta Penyerahan Bahan (Akta 331) yang dianggarkan berjumlah 2.5 juta naskhah.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, PNM turut memiliki koleksi 5,405 naskhah manuskrip yang menjadi khazanah warisan intelektual negara.

Katanya, dalam usaha memperkukuh akses digital, PNM turut menyediakan 1,014,356 koleksi digital yang boleh diakses secara percuma melalui 18 pangkalan data menerusi platform u-Pustaka.

“Langkah ini sekali gus membolehkan rakyat mendapatkan bahan bacaan pada bila-bila masa dan dari mana juga lokasi.

“Usaha berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing serta mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembaca menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata, jumlah bahan bacaan yang dikumpul PNM bukan sekadar menghimpunkan khazanah ilmu negara, malah menjadi wadah memperkasa budaya membaca, menyemai pemikiran kritis serta membentuk masyarakat yang berinformasi dan berdaya maju.

Menurutnya, ia juga merupakan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan akses kepada ilmu diperluas secara inklusif dan saksama.

“Langkah ini penting demi membina sebuah masyarakat yang berpengetahuan, bersatu padu dan progresif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN