Perluas penggunaan kad fleet subsidi diesel

Perluas penggunaan kad fleet subsidi diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengusaha stesen minyak mengesyorkan kerajaan memperluas penggunaan kad fleet subsidi diesel ke semua stesen minyak terpilih, bukan hanya terhad kepada satu stesen sahaja ketika ini.

Pengusaha stesen minyak, Datuk Amadaldin Hamzah berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan gangguan operasi jika berlaku putus bekalan di stesen yang ditetapkan.

“Jika berlaku putus bekalan di stesen minyak dipilih, ia menyebabkan penerima kad fleet terpaksa membeli diesel tanpa subsidi apabila bekalan di stesen terlibat terganggu.

“Ini menjejaskan kos operasi pengusaha logistik, syarikat pengangkutan yang bergantung kepada diesel bersubsidi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Amadaldin berkata, sistem kad fleet diwujudkan untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran namun pelaksanaannya perlu lebih fleksibel.

“Jika hanya satu stesen dibenarkan, risiko terlalu tinggi. Pengguna tidak ada pilihan lain kecuali membayar pada harga pasaran,” ujarnya yang juga terlibat sebagai pembekal gas.

Beliau berkata, perluasan penggunaan kad fleet subsidi diesel ke lebih banyak stesen minyak terpilih akan meningkatkan kecekapan sistem pengedaran bahan api.

“Dengan akses yang lebih meluas, pengusaha logistik tidak perlu bimbang tentang lokasi tertentu semata-mata, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan penghantaran barangan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berharap kerajaan menilai semula mekanisme pelaksanaan kad fleet supaya lebih inklusif dan tidak membebankan pengguna.

Beliau mencadangkan sistem pemantauan digital digunakan bagi memastikan subsidi tidak disalahgunakan sambil memberi fleksibiliti kepada penerima untuk memilih stesen minyak yang sesuai dengan operasi mereka.

“Isu bekalan diesel bersubsidi bukan sekadar soal kos tetapi berkait rapat dengan kelancaran rantaian logistik negara. Jika sistem terlalu ketat, ia boleh menjejaskan daya saing syarikat pengangkutan tempatan berbanding pemain luar yang mungkin mempunyai akses lebih mudah kepada bahan api,” katanya.

Beliau menyeru agar kerajaan mendengar suara pengusaha stesen minyak dan syarikat logistik dalam merangka dasar subsidi diesel.

“Kerjasama erat antara pihak kerajaan dan industri amat penting supaya dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak, tanpa menjejaskan kelangsungan operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN