Pergaduhan tiada kaitan isu perkauman - Utusan Malaysia

Pergaduhan tiada kaitan isu perkauman

NOOR Hisam Nordin berucap pada Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Insiden pergaduhan yang membawa kepada pembunuhan seorang lelaki akibat ditetak dalam kejadian di kawasan Buntong di Ipoh malam semalam dipercayai kerana perselisihan melibatkan kumpulan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, insiden yang berlaku di sebuah premis kedai kereta sewa itu tidak mempunyai sebarang kaitan melibatkan kaum.

Menurutnya, penangkapan seorang lelaki berumur 23 tahun iaitu suspek kes tersebut diyakini boleh membawa kepada penahanan lebih ramai individu yang terbabit dengan kejadian itu.

“Langsung tiada kena mengena dengan kaum kerana ia pergaduhan antara kumpulan.

“Ketika ini dua rakan mangsa yang terbabit dalam insiden itu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh namun stabil.

“Kita biar mereka menerima rawatan dahulu. Tidak boleh untuk andaikan dua mangsa yang dirawat itu juga adalah ahli kumpulan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Kontinjen Perak di Kompleks KDN Perak di sini hari ini.

Katanya, siasatan polis akan merangkumi segala sudut bagi mengetahui punca kejadian, motif dan sebagainya.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki maut selepas mengalami kecederaan parah akibat ditetak dalam satu insiden pergaduhan di kawasan Buntong.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN