PETALING JAYA: Perancangan pembangunan negara harus berubah kepada model lebih inovatif, dinamik dan tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan semata-mata dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam Mesyuarat Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-50 yang dipengerusikannya hari ini, beliau menyentuh perkembangan mutakhir berkaitan konflik di Asia Barat.
Katanya, dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar, kita tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama.
“Perancangan pembangunan negara harus beralih kepada model yang lebih inovatif, dinamik, serta tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata.
“Mesyuarat ini telah meneliti pelbagai aspek perancangan fizikal negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mampan, termasuk usaha memperkasa ekonomi tempatan serta memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuklah pembangunan lestari.
“Kerajaan Madani kekal komited untuk mengangkat kualiti hidup rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti, sistem mobiliti yang lebih cekap serta pembangunan persekitaran bandar yang selesa dan lestari.
“Sesungguhnya, pembangunan fizikal negara mesti berteraskan kesejahteraan rakyat ditambah dengan perancangan yang tersusun dan pelaksanaan yang berkesan.
“Insya-Allah kita akan terus memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.-UTUSAN










