IPOH: Sebanyak 2.41 juta benih ikan telah dilepaskan ke perairan darat di Perak sepanjang tahun lalu, sekali gus memberi manfaat kepada 1,893 nelayan darat berlesen di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, pelepasan benih ikan yang dibuat melalui 23 siri itu melibatkan spesies tempatan termasuk udang galah, ikan baung, kerai dan temoleh.
Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan komited melaksanakan pendekatan bersepadu bagi menangani cabaran nelayan darat termasuk isu pencemaran perairan, kemerosotan stok ikan dan ketidakstabilan pendapatan.
“Antara inisiatif dan langkah strategik yang dijalankan ialah pelaksanaan program pelepasan benih ikan secara berterusan bagi meningkatkan stok sumber perikanan darat.
“Langkah ini bukan sahaja menyokong pemuliharaan sumber asli tetapi turut memastikan kesinambungan industri perikanan darat demi manfaat generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zolkafly, bagi meningkatkan pendapatan nelayan darat, kerajaan juga memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti dan aktiviti nilai tambah bagi menstabilkan dan meningkatkan pendapatan mereka.
Katanya, pendekatan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan subsektor perikanan darat bukan sahaja mampan dari segi sumber, tetapi juga berdaya maju dari segi ekonomi dan sosial.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan juga melaksanakan Program Inventori, iaitu pemantauan berkala untuk mengenal pasti kehadiran dan taburan spesies ikan, termasuk spesies asing, di sungai, tasik dan lombong seluruh negeri.
“Data yang diperoleh ini menjadi asas penting dalam menilai status populasi ikan asli serta merancang tindakan pemuliharaan yang lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebagai usaha memperkukuh perlindungan terhadap habitat dan sumber ikan asli, kerajaan negeri sedang memuktamadkan pindaan bagi Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992.
Katanya, pindaan tersebut termasuk kawalan terhadap aktiviti yang berpotensi menjejaskan ekosistem perairan. – UTUSAN










