PETALING JAYA : Seorang penjawat awam ditahan reman bersama pengarah syarikat selepas disyaki memberi dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan berkaitan kesalahan pengisytiharaan pembelian minyak subsidi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an itu, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 8.50 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar April 2024. Mereka memberi dan menerima wang rasuah secara tunai serta berperingkat,” katanya.
Terdahulu, reman selama empat hari sehingga 11 April dikenakan terhadap kedua-dua suspek oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN










