IPOH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya dalam kejadian di Taman Changkat Lada Raya, Kampung Gajah, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Yusof Mat Yatim, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan iaitu menekup muka menggunakan bantal dengan mengetahui perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian terhadap Nur Syazwana Mohd. Talaha, 38.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Changkat Lada Raya, Seberang Perak di Kampung Gajah di dalam Daerah Perak Tengah pada pukul 9 pagi, 25 Mac 2026.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera parah dia boleh dipenjarakan selama 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pegawai pendakwa, Inspektor Zahira Musa memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap bapa kepada tiga anak itu berikutan sikap agresif yang ditunjukkannya ketika siasatan dijalankan.
“Tertuduh bertindak agresif sepanjang siasatan dan pernah cuba terjun dari tingkat empat,” katanya.
Hakim Meor Sulaiman kemudian menetapkan 4 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. – UTUSAN










