LENGGONG: Pengguna perkhidmatan bas henti-henti di laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik lega apabila operasi pengangkutan awam itu diteruskan selepas dihentikan beberapa hari.
Keadaan itu menggembirakan mereka terutama golongan berpendapatan rendah, warga emas dan kelompok yang tidak mempunyai kenderaan.
Operasi yang telah wujud sejak 1970-an itu sebelum ini diumumkan berakhir pada 31 Mac lalu menerusi kenyataan oleh syarikat pengendali, namun kemudian memutuskan menyambung semula perkhidmatan tersebut bermula 3 April.
Seorang penduduk, S. Siva, 60, gembira dengan perkembangan tersebut yang menyaksikan perkhidmatan yang telah wujud lebih 50 tahun itu berterusan.
“Kami lega apabila rintihan masyarakat diambil berat. Bas henti-henti ini memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang duduk di kampung terpencil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pengguna bas, Anizah Mohamad, 62, bimbang penamatan operasi itu menyukarkan urusan perniagaan kecilnya di pekan Lenggong.
Bagi Siti Zawyah Syed Wok, 65, dia bergantung kepada perkhidmatan tersebut bagi menggunakan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), memandangkan banyak kedai terpilih terletak di pekan utama.
Terdahulu hari ini, isu penamatan khidmat bas di laluan berkenaan berjaya diselesaikan hasil campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Keputusan itu dibuat susulan satu perbincangan yang telah diadakan antara pihak syarikat dan Pejabat Menteri Besar Perak berhubung isu penamatan operasi laluan tersebut yang menimbulkan kesukaran kepada penduduk setempat.
Pengurus Besar Perak Transit Berhad, Ismail Jamal dalam satu kenyataan memberitahu perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan 99A, 99B, 99C dan 99D akan mula beroperasi hari ini.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira permintaan daripada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang prihatin terhadap keperluan penduduk setempat yang amat bergantung kepada perkhidmatan bas bagi laluan tersebut sebagai pengangkutan seharian,” katanya.
Menurutnya, operasi semula itu adalah bersifat sementara sehingga satu keputusan muktamad diperoleh berhubung status kelulusan permohonan subsidi pengangkutan awam daripada kerajaan negeri atau Persekutuan.
Difahamkan perbincangan telah dibuat antara Pejabat Menteri Besar dengan pihak syarikat agar isu tersebut yang antara lain menyuarakan kebimbangan Saarani terhadap kesan penamatan perkhidmatan kepada kehidupan harian rakyat, khususnya pelajar sekolah, warga emas serta penduduk yang bergantung kepada pengangkutan awam. – UTUSAN










