Pemulihan sektor pelancongan negara dijangka ambil masa tiga tahun

Pemulihan sektor pelancongan negara dijangka ambil masa tiga tahun

MASKOT Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pelancongan negara dijangka memerlukan dua hingga tiga tahun untuk kembali stabil sepenuhnya akibat kesan rantaian daripada konflik geopolitik global.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Seri Mohd Khalid Harun berkata, pemain industri di seluruh negara perlu membuang sikap terlalu optimis secara melulu dan mula merangka jangkaan yang jauh lebih realistik bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Ujarnya, konflik yang berlaku di Asia Barat telah memberi tekanan terhadap kos operasi penerbangan yang secara tidak langsung mengganggu kelancaran perjalanan rentas benua.

“Perkara ini sudah tentu mengakibatkan sektor pelancongan negara yang sepatutnya melonjak kerana Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) berdepan masalah yang turut akan dirasai para pemain industri.

“Justeru, ekosistem pelancongan negara wajib mengaktifkan pelan kelangsungan alternatif dengan segera dan memperkenalkan model perniagaan yang lebih mampan dan kalis kejutan.

“Antara cabang yang boleh diberi tumpuan termasuk pelancongan keagamaan, sektor pendidikan, pelancongan perubatan, serta acara berasaskan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd Khalid berkata, kerajaan dan pemegang taruh industri perlu merombak kaedah penilaian kejayaan sektor berkenaan.

“Petunjuk pemulihan yang sekadar bersandarkan kepada jumlah atau kuantiti ketibaan pelancong di pintu masuk sempadan negara adalah satu pengukur yang sudah tidak relevan.

“Penilaian baharu perlu merangkumi pemantauan terhadap kestabilan kapasiti penerbangan yang masuk ke Malaysia, selain mengkaji corak tempahan awal yang menjadi indikator kepada keyakinan pelancong antarabangsa.

“Pada masa sama, penilaian tersebut turut memfokuskan kepada kadar perbelanjaan bagi setiap individu pelancong sewaktu berada di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, sikap terlalu selesa dengan tahap kebergantungan yang melampau kepada pasaran negara tertentu terutamanya pasaran jarak jauh adalah salah satu kelompongan yang bahaya.

“Walaupun pasaran jarak jauh penting untuk menyumbang nilai perbelanjaan premium, kempen di pasaran ASEAN dan domestik perlu diperkukuh sebagai penampan ekonomi paling ampuh buat masa kini.

“Kadar pendigitalan yang masih berlegar di paras rendah dalam kalangan industri kecil dan sederhana turut menjadi batu penghalang kepada keupayaan mereka untuk bersaing dalam landskap pemulihan era baharu ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan proses pemulihan bergantung kuat kepada pemahaman industri terhadap perubahan drastik dalam tingkah laku pengguna pasca-krisis.

“Aspirasi pemulihan ini akan terbantut sekiranya pihak kerajaan gagal menyelesaikan isu-isu birokrasi dalaman terutama melibatkan kerumitan proses permohonan visa antarabangsa serta kelewatan kritikal berhubung kelulusan dasar baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×