Pemandu warga asing ditahan isi RON95

Pemandu warga asing ditahan isi RON95

SEORANG lelaki warga asing ditahan manakala kenderaan berpendaftaran negara itu dirampas selepas didapati mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di sekitar Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu kereta berpendaftaran asing ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor kerana mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di bandar raya ini, semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, penahanan lelaki asing berusia 50-an itu dilakukan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan penguatkuasa di pusat bandar Johor Bahru, kira-kira pukul 10 malam.

“Hasil pemerhatian mendapati sebuah kenderaan berpendaftaran asing telah mengisi petrol RON95 ke dalam tangki kenderaan.

“Bertindak atas maklumat dan pemerhatian tersebut, pegawai penguatkuasa telah menahan pemandu kenderaan berkenaan daripada meneruskan pengisian petrol RON95,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Lilis Saslinda berkata, pemeriksaan lanjut telah dijalankan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak serta resit pembelian dan rakaman percakapan pekerja stesen minyak.

“Siasatan awal mengesahkan bahawa transaksi tersebut melibatkan petrol RON95. Oleh yang demikian, KPDN Johor telah menyita kenderaan tersebut, rakaman CCTV, salinan resit pembelian serta dokumen berkaitan.

“Suspek lelaki yang merupakan pemilik yang memandu kereta Honda Civic itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) atas kesalahan membeli barang kawalan petrol RON95 menggunakan kenderaan berpendaftaran asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN