Pelarasan BUDI95 bantu kurangkan beban kos pemandu e-hailing - Utusan Malaysia

Pelarasan BUDI95 bantu kurangkan beban kos pemandu e-hailing

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan pelarasan terkini BUDI95 yang mengekalkan peruntukan bulanan sebanyak 800 liter bahan api dilihat membantu mengurangkan beban kos operasi pemandu e-hailing di negara ini.

Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, keputusan kerajaan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap realiti yang dihadapi golongan berkenaan, khususnya dalam mengurus kos bahan api yang menjadi antara perbelanjaan harian terbesar.

Menurutnya, kos bahan api memberi kesan langsung kepada keupayaan pemandu untuk menjana pendapatan secara mampan selain memastikan perkhidmatan kepada pengguna kekal stabil dan boleh diharap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kebanyakan pemandu, pengurusan kos bahan api bukan sekadar soal kemampuan, tetapi juga melibatkan usaha mengekalkan pendapatan yang konsisten.

“Langkah yang mengambil kira keperluan kumpulan pengguna berintensiti tinggi seperti pemandu e-hailing amat penting dalam mewujudkan ekosistem mobiliti yang lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sokongan kepada pemandu tidak seharusnya terhad kepada dasar semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan inisiatif praktikal bagi membantu mengurangkan tekanan kos harian.

Katanya, peranan pemain industri juga penting melalui pelaksanaan program sokongan seperti insentif dan bantuan bahan api bagi membantu pemandu mengurus perbelanjaan operasi dengan lebih berkesan.

“Daya tahan jangka panjang pemandu bergantung kepada gabungan sokongan dasar yang disasarkan serta inisiatif industri yang mampu meningkatkan kemampanan pendapatan.

“Melalui pendekatan ini, industri dapat mewujudkan persekitaran lebih menyokong kepada pemandu di samping memastikan pengguna terus menikmati perkhidmatan mobiliti yang mampu milik dan dipercayai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini