Pelantikan Abdul Halim langkah perkukuh integriti

Pelantikan Abdul Halim langkah perkukuh integriti

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh integriti dan ketelusan negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, dalam keadaan semasa yang mencabar, institusi pencegahan rasuah memerlukan kepimpinan berwibawa yang berani dan berprinsip.

Katanya, latar belakang Abdul Halim dengan pengalaman luas dalam sistem kehakiman memberi asas kukuh untuk memperkasakan peranan SPRM berteraskan kedaulatan undang-undang.

“MCW melihat pelantikan ini sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh institusi pencegahan rasuah, khususnya dalam keadaan semasa yang menuntut integriti, ketelusan dan keberanian institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa pada 13 Mei 2026.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelantikan tersebut bukan sekadar melibatkan individu, sebaliknya menjadi ujian besar kepada sistem negara secara keseluruhan.

Katanya, keyakinan rakyat hanya akan pulih sekiranya kepimpinan baharu ini mampu bertindak tegas terhadap kes berprofil tinggi tanpa pilih kasih.

“Selain itu kpeimpinanan baharu perlu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam siasatan selain memperkukuh integriti dalaman SPRM

“Malah, kepimpinan baharu perlu menyokong reformasi struktur termasuk pemisahan siasatan dan pendakwaan,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya percaya pelantikan ini berpotensi menjadi titik perubahan, namun kejayaan hanya dapat diukur melalui tindakan berani dan konsisten, bukan sekadar perubahan kepimpinan.

“Jika prinsip integriti ditegakkan, keyakinan rakyat akan kembali. Jika tidak, ia hanya akan dilihat sebagai pertukaran wajah tanpa reformasi sebenar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN