Keutamaan Abdul Halim pulih keyakinan terhadap SPRM - Gobind

Keutamaan Abdul Halim pulih keyakinan terhadap SPRM – Gobind

GOBIND SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keutamaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman adalah untuk memulihkan keyakinan awam terhadap agensi itu.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut memerlukan tindakan segera terhadap dakwaan kewujudan mafia korporat yang dikaitkan dengan SPRM serta penyelesaian terhadap kontroversi pemilikan saham membabitkan Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, Abdul Halim perlu menggariskan visi serta membentangkan pelan hala tuju yang jelas berkaitan reformasi yang akan dilaksanakan bagi memastikan kebebasan SPRM serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengukuhkan semula keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

“Bagi dakwaan mafia korporat, terdapat persoalan mengenai penglibatan disyaki beberapa pegawai SPRM dalam urusan korporat semasa siasatan dijalankan yang memberi kesan kepada integriti dan kredibiliti agensi itu.

“Dakwaan tersebut perlu ditangani tanpa rasa takut, pilih kasih atau kelewatan dengan garis masa yang jelas ditetapkan bagi memastikan ketelusan.

“Bagi isu pemilikan saham pula, perkara itu masih belum diselesaikan walaupun Jemaah Menteri telah mengarahkan tindakan lebih sebulan lalu. Walaupun Ketua Setiausaha Negara menjelaskan bahawa proses formal perlu dipatuhi, ia tidak boleh berlarutan tanpa kesudahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gobind berkata, Abdul Halim seharusnya memulakan tugas tanpa beban dakwaan yang masih tergantung memandangkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara telah mengemukakan dapatan kepada Jemaah Menteri dan perkara itu perlu dimuktamadkan segera.

Katanya, akauntabiliti dan ketelusan adalah aspek penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan baharu SPRM.

“Bagi memulihkan kepercayaan awam, isu-isu ini perlu ditangani dengan berkesan sebagai isyarat bahawa reformasi sebenar sedang dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN