BUKIT MERTAJAM: Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dilihat bertepatan dalam menakhodai agensi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan tersebut dibuat selepas mengambil kira latar belakang serta pengalaman Abdul Halim dalam bidang kehakiman, selain dilihat bebas daripada sebarang penglibatan dalam perniagaan besar atau parti politik.
Menurut beliau, kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM terdahulu, Tan Sri Azam Baki atas khidmat dan sumbangan sepanjang menerajui agensi berkenaan.
“Pertama, kita nyatakan penghargaan kepada KP SPRM yang lalu, Tan Sri Azam Baki yang menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Sekarang giliran Ketua Pesuruhjaya yang baharu.
“Masih terlalu awal untuk memberi penilaian. Namun, beliau datang daripada badan kehakiman, tidak terlibat dalam mana-mana perniagaan besar atau parti politik. Jadi, saya fikir beliau sesuai untuk menakhodai SPRM dan terus meningkatkan keupayaannya,” katanya selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang, hari ini.
Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini dan pelantikan itu telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelantikan tersebut turut diperkenankan selepas perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong semalam dengan tempoh lantikan selama dua tahun.
“Saya telah bincang dengan Tuanku Yang di-Pertuan Agong semalam dan mempertimbangkan calon ini. Perlantikan ini selalunya untuk dua tahun,” katanya. – UTUSAN










