PADANG TERAP: Sejak ditubuhkan hampir 50 tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naka yang terletak kira-kira sejam dari ibu negeri ini tidak pernah memiliki pelajar yang mendapat keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun, kali ini sekolah tersebut berbangga apabila dapat ‘melahirkan’ seorang pelajar yang mendapat 7A dan 1A- dalam kesemua lapan mata pelajaran yang diambil pada SPM tahun lalu.
Nur Batrisya Zulaikha Hussin, 18, berkata, dia tidak menyangka mampu meraih keputusan cemerlang itu kerana hanya mendapat 3A- pada peperiksaan percubaan termasuk gagal subjek Matematik.
“Alhamdulillah, saya memang tak sangka dalam peperiksaan sebenar dapat 8A, saya memang tak percaya awal itu walaupun cuba juga letak sasaran untuk dapat sekurang-kurangnya 6A.
“Saya ulang kaji macam kebanyakan pelajar lain termasuk bangun pukul 4 pagi untuk telaah pelajaran, selain itu saya juga guna media sosial untuk mengikuti kandungan berbentuk ilmiah serta pergi ke kelas tambahan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambah anak kedua daripada empat beradik itu, pencapaian yang diraihnya bukan sahaja membanggakan pihak sekolah tetapi lebih utama menggembirakan ibu bapanya, Noor Aziah Jaafar dan Hussin Othman.
Katanya, dia berharap kejayaan itu dapat menjadi inspirasi kepada pelajar di SMK Naka terutama yang bakal menduduki SPM pada tahun ini agar lebih ramai mendapat keputusan yang lebih cemerlang berbandingnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Naka, Mawardi Hamid berkata, kejayaan melahirkan pelajar sulung mendapat semua A merupakan kesungguhan para guru, waris, pelajar dan pihak NGO serta agensi kerajaan yang komited terhadap potensi sekolah itu.
“Syukur Alhamdulillah SMK Naka akhirnya ada seorang pelajar mendapat semua A sejak tertubuhnya sekolah ini.
“Ini menjadi titik tolak kepada masyarakat khususnya di luar bandar yang menghadapi banyak cabaran kerana anak-anak masih kurang semangat juang mereka tapi bila berjaya pecah tembok ini saya yakin akan menghasilkan kecemerlangan seterusnya selepas ini,” katanya. – UTUSAN










