IPOH: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dirempuh motosikal ketika melintas di Jalan Kampar berhampiran sebuah pasar raya, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 67 tahun parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menghala ke bandar Ipoh melalui Jalan Kampar.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang berada di pembahagi jalan secara tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal berusia 42 tahun itu telah cuba memberhentikan motosikal dan mengelak ke kiri, namun gagal sebelum melanggar mangsa.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua lelaki tersebut mengalami kecederaan namun pejalan kaki yang cedera parah di kepala, meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat, manakala penunggang motosikal yang cedera dihantar ke bahagian kecemasan hospital sama untuk rawatan.
Katanya, polis telah menahan motosikal tersebut bagi tujuan pemeriksaan Puspakom selain mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 05-2451537 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN










