Pegawai CeIO perlu jadi penggerak laksana tadbir urus berkesan

Pegawai CeIO perlu jadi penggerak laksana tadbir urus berkesan

AZAM Baki menyampaikan Sijil Pentauliahan Pegawai Integriti Bertauliah (Sektor Awam) kepada sebahagian penerima yang hadir pada Majlis Konvensyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke 12 di Bangi, Selangor hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu menjadi penggerak utama dalam memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak kepada rakyat sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, jurang antara keputusan dan pelaksanaan perlu ditangani secara serius bagi membina sistem pentadbiran yang berfungsi, responsif dan dipercayai.  

 “Dalam banyak keadaan, inisiatif dilancarkan dan pelan dirangka namun pelaksanaannya tidak disempurnakan sepenuhnya. 

“Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasarnmalah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam,” katanya pada Majlis Konvokesyen CeIO Ke-12 di Bangi di sini, hari ini. 

Azam memberitahu, seramai 3,333 pegawai ditauliahkan dalam Program CeIO sejak 2010 sekali gus membuktikan kesinambungan dan kepentingan dalam membangunkan kapasiti pegawai integriti secara sistematik dan berstruktur. 

Katanya, pihaknya melalui Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia  (MACA) komited memastikan kelangsungan program CeIO bukan sekadar kuantiti pengeluaran graduan tetapi turut mementingkan kualiti, kerelevanan dan impak terhadap sistem tadbir urus negara. 

“Dalam landskap pentadbiran yang semakin kompleks, CeIO perlu terus diperkasa supaya mampu berfungsi secara adaptif, responsif dan berkesan dalam menyokong usaha pencegahan rasuah secara sistematik,” jelasnya.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, seramai 486 graduan terdiri daripada 283 pegawai sektor awam, 111 pegawai daripada syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) dan 92 sektor swasta telah ditauliahkan hari ini. 

Azam berkata, program itu dirangka secara komprehensif bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan. 

Katanya, ia malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara efektif. 

“Hasilnya, graduan CelO mampu menyumbang kepada pengukuhan kawalan dalaman serta pembudayaan nilai integriti yang lebih menyeluruh dalam organisasi,”jelasnya. 

Katanya, MACA membangunkan Arahan Perdana Menteri Tahun 2026 yang baharu bagi program CeIO untuk menggantikan arahan terdahulu dalam memastikan program itu terus relevan dengan agenda nasional serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

Menurutnya, arahan baharu itu yang sudah dipersetujui secara prinsip dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 12 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN