KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) didakwa lewat dalam merangka pelan menyeluruh bagi membantu rakyat dan komuniti perniagaan mendepani krisis semasa.
Pertubuhan Pantau Masyarakat Kuala Lumpur (PPMKL) dalam kenyataan berkata, apa yang berlaku hari ini bukan sekadar kelewatan, tetapi kecuaian yang jelas dalam memahami realiti di lapangan.
Katanya, ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan peniaga kecil semakin terhimpit, PPPK masih gagal mengemukakan pelan yang konkrit dan berkesan.
“Ini mencerminkan kelemahan serius dari segi kecekapan, keutamaan dan rasa tanggungjawab.
“Lebih membimbangkan, kelembapan ini secara langsung mencalar imej dan kredibiliti Perdana Menteri tatkala beliau berusaha memimpin negara dalam keadaan krisis dengan pendekatan yang tegas dan proaktif,” katanya hari ini.
PPMKL berkata, kecuaian PPPK yang dikelola Tan Sri Hassan Marican dan Nurhisham Hussein itu untuk bergerak seiring hanya menonjolkan ketidakselarasan dalam jentera kerajaan.
Katanya, alangkah baik jika PPPK mencontohi Kerajaan Negeri Selangor yang bertindak segera mengumumkan pakej pengukuhan daya tahan membuktikan bahawa tindakan pantas adalah sesuatu yang mampu dilaksanakan.
“Kelewatan ini hanya menampakkan ketiadaan “sense of urgency” dalam menghadapi krisis.
“Kami dengan tegas menggesa agar kepimpinan PPPK bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian ini dan segera membentangkan pelan tindakan yang jelas, bersasar dan boleh dilaksanakan tanpa sebarang lengah.
“Jika ketidakmampuan ini berterusan, maka persoalan tentang keupayaan dan kesesuaian mereka untuk terus memegang tanggungjawab ini wajar dibangkitkan,” katanya. – UTUSAN










