Pas mahu isu melibatkan SPRM disiasat secara telus

Pas mahu isu melibatkan SPRM disiasat secara telus

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mahu beberapa isu lama membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat secara adil, menyeluruh dan telus susulan pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang baharu agensi berkenaan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cabaran menanti kepimpinan baharu itu bukan kecil apabila antara perkara utama perlu diberi perhatian ialah dakwaan melibatkan tokoh korporat Farhash Wafa Salvador.

Katanya, turut perlu diberi perhatian ialah isu dakwaan kewujudan mafia korporat dalam SPRM sebelum ini, kes melibatkan dakwaan Albert Tei dalam siri pendedahan videonya serta pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya sebelum ini, Tan Sri Azam Baki.

“Semua isu tersebut wajar disiasat secara adil dan menyeluruh selain penemuan mengenainya didedahkan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, pendekatan bebas daripada campur tangan serta berlandaskan prinsip keadilan akan menjadi kunci untuk mengembalikan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat.

“Tahniah diucapkan atas pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Semoga amanah besar ini dapat digalas dengan penuh integriti, ketegasan dan kebijaksanaan dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara.

“Semoga kepimpinan baharu ini mampu membawa pembaharuan yang signifikan dan memastikan SPRM kekal sebagai institusi yang dihormati, bebas dan berwibawa,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei 2026.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu telah dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam.

Katanya, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN