KUALA LUMPUR : Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) Selangor telah mengesan sebanyak 27 premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) beroperasi secara haram di negeri ini menerusi Op Hazard 3.0.
Pengarahnya, Datuk Wandi Yadzid Yaakob berkata, kesalahan utama dikesan adalah memproses e-waste tanpa lesen serta membuka premis tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Kesalahan ini membabitkan Seksyen 18, 19, 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Denda maksimum bagi kesalahan ini adalah sehingga RM10 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA, Cheras sini hari ini.
Wandi berkata, e-waste diklasifikasikan sebagai buangan terjadual yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar untuk diproses atau dikendalikan.
“Pemprosesan e-waste tanpa kelulusan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Buangan Terjadual 2005.
“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti secara haram,” jelasnya.
Kata Wandi, JAS akan terus memantau dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan terhadap premis yang melanggar undang-undang.
Ketika ditanya sama produk e-waste yang dirampas ini membabitkan e-waste yang diseludup dari negara luar, beliau berkata, perkara itu masih diperingkat siasatan.-UTUSAN










