OMIW desak MAIN, pihak berkuasa agama pinda akta bendung kutipan zakat tidak sah secara ‘online’

OMIW desak MAIN, pihak berkuasa agama pinda akta bendung kutipan zakat tidak sah secara ‘online’

AZIZ Jamaludin Mohd. Tahir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) mendesak agar semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan pihak berkuasa agama segera meminda Akta serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran kemajuan teknologi kewangan (fintech) masa kini.

Pengerusinya, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mohd. Tahir berkata,keperluan pindaan itu amat mendesak susulan peningkatan aktiviti kutipan zakat rentas sempadan melalui platform digital yang dilihat semakin sukar dikawal.

Menurut beliau, undang-undang yang digubal pada era 1990-an itu tidak mengambil kira perkembangan pesat teknologi siber yang kini dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk menjalankan kutipan zakat secara tidak sah terutamanya melalui media sosial.

“OMIW memandang serius isu manipulasi undang-undang oleh ejen dan institusi tertentu yang mengutip zakat merentas sempadan negeri tanpa kawal selia yang cekap.

“Berdasarkan perundangan sedia ada, perbuatan mengutip zakat atau fitrah tanpa kebenaran dan tauliah daripada MAIN merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 47(1)(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atau enakmen negeri berkaitan.

“Pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Namun, peruntukan ini jelas tidak lagi memadai dalam era digital hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau berkata, terdapat ejen dan institusi tertentu menggunakan aplikasi digital pihak ketiga bagi memintas kekangan undang-undang, sekali gus membolehkan mereka mengutip zakat merentas sempadan negeri tanpa kawal selia yang berkesan.

“Mereka menjalankan kempen secara agresif di media sosial dan mengambil kesempatan atas kelompangan undang-undang sedia ada, tanpa perlu hadir secara fizikal di negeri berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, OMIW mencadangkan agar pindaan undang-undang dilakukan dengan memasukkan larangan terhadap promosi, pemasaran dan pengiklanan yang menggalakkan pembayaran zakat ke institusi luar negeri bagi individu yang tidak bermastautin.

Selain itu, katanya, tafsiran ‘mengutip tanpa tauliah’ perlu diperluaskan bagi merangkumi penyediaan platform digital yang menyalurkan dana zakat ke luar bidang kuasa MAIN tanpa kebenaran.

“Pada masa sama, kadar hukuman sedia ada juga perlu dikaji semula kerana denda maksimum RM3,000 tidak setimpal dengan jumlah kutipan yang mampu mencecah jutaan ringgit.

“Selain itu, amalan kutipan zakat rentas sempadan tanpa kawalan boleh menjejaskan hak asnaf tempatan yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana tersebut selain berpotensi mendorong komersialisasi ibadah zakat apabila institusi dan ejen berlumba-lumba menarik pembayar seperti persaingan perniagaan.

“Jika perkara ini tidak dibendung, ia bukan sahaja menjejaskan kredibiliti institusi zakat, malah membuka ruang kepada risiko ketirisan, penipuan dan penyalahgunaan dana,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN