MTF gesa tindakan segera tangani kos pelancongan akibat konflik AS-Iran

MTF gesa tindakan segera tangani kos pelancongan akibat konflik AS-Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pelancongan Malaysia (MTF) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani tekanan kos yang semakin meningkat dalam industri pelancongan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.

Presiden MTF, Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, langkah itu perlu melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada pemain industri.

Katanya, walaupun terdapat usaha sesi libat urus oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta pendekatan proaktif kementerian itu dalam berunding dengan pihak berkepentingan namun ia tidak mencukupi tanpa hasil dan keputusan yang jelas.

“Industri memerlukan penyelesaian yang berkesan dan mampu memberikan impak nyata, bukannya perbincangan berpanjangan tanpa pelaksanaan yang tepat pada masanya

“Ini kerana industri pelancongan beroperasi berasaskan model perniagaan jangka panjang, dengan pakej pelancongan dirancang dan dijual lebih awal melalui kontrak yang mengikat antara agensi tempatan dan rakan antarabangsa.

“Keadaan ini menyebabkan agensi pelancongan tidak dapat melaraskan harga apabila berlaku peningkatan kos secara mendadak, sekali gus terpaksa menanggung beban tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, situasi menjadi lebih mencabar apabila kebanyakan agensi pelancongan tidak memiliki aset pengangkutan sendiri dan bergantung kepada penyedia pihak ketiga termasuk pengendali bas, bot dan feri.

Ujar beliau, pengendali pengangkutan turut terkesan dengan kenaikan kos bahan api dan tidak mampu menanggung kerugian berterusan, sekali gus mendorong peningkatan kadar perkhidmatan yang memberi tekanan kepada keseluruhan rantaian industri.

“Sehubungan itu, MTF menggesa kerajaan melaksanakan beberapa langkah bantuan segera, termasuk subsidi bahan api atau bantuan kewangan kepada pengendali pengangkutan pelancongan, mekanisme pelepasan kos sementara bagi agensi yang terikat kontrak, serta polisi penstabilan jangka pendek.

“MTF turut mencadangkan pendekatan bersepadu antara kementerian antaranya KPDN dan MOF bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan lebih cepat dan berkesan.

“Kelewatan dalam pelaksanaan bantuan mencerminkan jurang pemahaman dan keutamaan yang perlu ditangani segera bagi mengelakkan dasar yang digubal tidak selari dengan keperluan sebenar industri. Tindakan segera perlu dibuat bagi menghasilkan keputusan yang benar-benar meringankan beban industri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa industri pelancongan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi negara, menyokong rangkaian luas perniagaan serta peluang pekerjaan.

“Tekanan kos semasa yang tidak ditangani berpotensi menyebabkan kerosakan struktur jangka panjang, menjejaskan daya saing serta menghakis keyakinan rakan antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN