PETALING JAYA: “Ibu Ardell sudah sembuh, Alhamdulillah. Ada lagi lima adik-beradik tengokkan mak dia juga. Untuk anak-anak, saya ada (menjaga), kenapa ya?”
Demikian respons pelakon, Nadzmi Adhwa mempertahankan isterinya, Ardell Aryana yang menerima kecaman selepas kembali menyertai misi kemanusian Global Sumud Flotilla 2.0, baru-baru ini.
Nadzmi berkata sedemikian susulan tindakan seorang individu yang mempersoalkan keputusan Ardell untuk menyertai misi tersebut di saat tahap kesihatan ibunya kurang baik selain meninggakan anak-anak.
Dalam pada itu, Nadzmi meluahkan rasa kesal apabila niat baik isterinya untuk membantu saudara Islam yang ditindas di Palestin meraih pelbagai respons negatif dari netizen.
“Minta doakan tapi dihina pula. Allah SWT sudah tulis perjalanan kita.
“Kalau Allah tak izin, tidak akan menjadi dan kalau Dia tak izin mesti tidak pergi.
“Siapakah kita menidakkan takdir yang Allah tetap kan. Wallahualam,” ujarnya.
Bagaimanapun, Nadzmi berharap agar peserta misi kemanusiaan tersebut mengendahkan segala tohmahan di media sosial dan kekal fokus dalam perjuangan membebaskan rakyat Palestin.
“Kepada isteri dan sahabat sahabat saya dalam Sumud, maafkan lisan mereka, mereka tidak tahu, terus Sumud.
“Allah tahu niat kalian,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nadzmi memuat baik hantaran mengiringi isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlepas ke Barcelona bagi meneruskan GSF 2.0.
Selain Ardell, personaliti lain yang turut serta adalah pasangan beradik Heliza dan Hazwani Helmi, Haroqs serta empat lagi yang dirahsiakan identitinya.
Namun, perkara itu mengundang kekecohan dapam kalangan warganet apabila ramai mula mempertikai penyertaan beberapa selebriti tanah air yang kembali berlayar ke Palestin.










