KUALA LUMPUR: Permohonan MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dibuat ketika gabungan berkenaan diterajui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, perubahan kepimpinan PN yang kini diterajui Pas memerlukan MIC untuk membincangkan semula penyertaan ke dalam gabungan itu di peringkat akar umbi.
“Bukan bermaksud kita menganggap parti itu ekstremis agama atau sebaliknya. Ia hanyalah kerana perubahan kepimpinan, dan kita tidak mahu keputusan dibuat bercanggah dengan kehendak akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya, hari ini.
Terdahulu, perasmian persidangan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, MIC sudah menghantar permohonan menjadi anggota gabungan itu melalui surat pada 15 November lalu kepada Muhyiddin yang ketika itu merupakan Pengerusi PN.
Beliau berkata, menerusi permohonan berkenaan, pihaknya meneliti dan membincangkan permohonan daripada MIC sebelum diterima sebagai parti anggota PN pada Disember lalu. – UTUSAN










