PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyekat laporan portal berita berkaitan kes mahkamah membabitkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
MCMC dalam kenyataan berkata, dakwaan dibuat oleh seorang penggiat media sosial mengenai perkara itu adalah tidak benar dan palsu.
“MCMC tidak terbabit dalam kes berkenaan dan tidak mengeluarkan sebarang permohonan atau permintaan kepada mana-mana media atau platform untuk menyekat kandungan itu,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, katanya, MCMC akan mengambil tindakan undang-undang yang wajar terhadap individu terbabit berhubung dakwaan palsu berkenaan.
MCMC berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform media sosial dan media digital bagi tujuan mengelirukan orang ramai.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.-UTUSAN










