MCA kibar bendera separuh tiang, penghormatan kepada Tun Dr. Ling Liong Sik

MCA kibar bendera separuh tiang, penghormatan kepada Tun Dr. Ling Liong Sik

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bendera MCA akan dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada Tun Dr. Ling Liong Sik yang meninggal dunia pagi tadi.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, arahan itu dikeluarkan bagi mengenang jasa mendiang yang banyak menyumbang kepada parti.

“Saya telah mengarahkan agar bendera parti dikibarkan separuh tiang di semua pejabat MCA di seluruh negara sebagai tanda penghormatan tertinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas peranan Dr. Liong Sik sebagai Presiden keenam MCA, Ka Siong berkata, parti itu melalui perubahan pesat apabila mendiang memimpin dengan berani, jelas serta berstrategi ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dan politik.

Katanya, dengan keazaman tinggi, mendiang berjaya memimpin parti dan masyarakat menghadapi krisis, menyelesaikan pelbagai cabaran serta memulihkan perpaduan dan keyakinan.

“Kepimpinan beliau bukan sahaja mengukuhkan MCA, malah memperkukuh kedudukan masyarakat Cina dalam kerangka nasional yang lebih luas,” katanya.

Tambah beliau, peranan Dr. Liong Sik sebagai Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga 2003 amat signifikan dalam memodenkan infrastruktur negara menerusi pelaksanaan projek-projek utama yang meningkatkan sistem penerbangan, pelabuhan dan rel ke tahap antarabangsa.

“Sumbangan beliau membantu meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berhubung secara global,” katanya.

Ka Siong berkata, antara sumbangan penting mendiang adalah merealisasikan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Dr. Ling Liong Sik bukan sekadar seorang pemimpin, sebaliknya pembina negara, penyatu masyarakat dan tokoh berwawasan.

“Legasinya akan terus hidup melalui institusi yang dibinanya, dasar yang digubalnya serta jasa sepanjang kehidupannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN