PETALING JAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) desak kerajaan memperkenalkan subsidi diesel bersasar dan mekanisme surcaj kepada sektor pengangkutan pelancongan negara semasa tempoh krisis.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, kenaikan harga diesel yang berterusan ketika ini meletakkan beban luar biasa kepada pengusaha pengangkutan pelancongan yang beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat tipis.
“Kenaikan harga diesel yang berterusan meletakkan beban yang tidak mampan kepada pengendali pengangkutan pelancongan, yang kebanyakannya sudah beroperasi dengan margin yang sangat tipis.
“Ia penting untuk kita mengambil langkah-langkah praktikal dan seimbang dalam memastikan kelangsungan operasi tanpa menjejaskan kepercayaan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Nigel berkata, pelaksanaan mekanisme surcaj bahan api sementara dan telus, digabungkan dengan sokongan kerajaan yang bersasar dapat membantu industri mengekalkan piawaian perkhidmatan semasa tempoh krisis.
“Bagi kelangsungan operasi, pihak MATTA mengesyorkan pelaksanaan mekanisme surcaj bahan api sementara, serupa dengan yang diguna pakai dalam sektor penerbangan.
“Ini memastikan surcaj kekal adil, berkadaran serta mencerminkan secara langsung kos tambahan yang ditanggung.
“Mekanisme tersebut juga perlu jelas kepada pengguna dan bersifat sementara dengan pemansuhan sebaik sahaja harga diesel stabil,” katanya.
Tambah Nigel, sebahagian besar pengendali pengangkutan pelancongan yang beroperasi ketika ini adalah dengan pulangan pelaburan (ROI) yang minimum dan hanya mampu mengekalkan operasi harian serta memenuhi obligasi kontrak sedia ada.
Situasi ini mengancam daya maju operasi pengendali dan ekosistem pelancongan yang lebih luas bukan keuntungan semata-mata.
Menurut MATTA, sebanyak 68.5 peratus pengendali van pelancongan menggunakan lebih daripada 1,500 liter diesel sebulan bagi setiap kenderaan manakala 54.8 peratus pengendali bas pelancongan menggunakan lebih daripada 3,500 liter sebulan bagi setiap bas.
Sementara itu,Timbalan Presiden (Pengangkutan Darat) MATTA, K.Subramaniam berkata, MATTA menyeru kerajaan untuk memperkenalkan subsidi diesel bersasar bagi menyokong pengendali pengangkutan pelancongan.
“Pengendali pengangkutan pelancongan tidak berada dalam kedudukan untuk menyerap kenaikan kos bahan api secara berterusan.
“Mekanisme surcaj bahan api sementara adalah penyelesaian yang paling praktikal untuk kesinambungan perkhidmatan sambil mengekalkan kepercayaan pelanggan.
“Pada masa yang sama, subsidi bersasar, seperti cadangan peruntukan bulanan sebanyak 3,500 liter, akan memberikan kelegaan segera kepada pengendali yang sedang bergelut untuk mengekalkan operasi di bawah keadaan pasaran semasa.
“Ini bukan tentang meningkatkan keuntungan, tetapi tentang kelangsungan hidup dan mengekalkan integriti rantaian bekalan pelancongan Malaysia,” katanya. – UTUSAN










