PONTIAN: Kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang profesional dan tidak kekok ketika bersama masyarakat pelbagai kaum menyebabkan beliau diterima masyarakat Cina negeri ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong susulan itu berkata, keperibadian dimiliki jadi faktor utama memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, Onn Hafiz bukan sahaja mempunyai rekod prestasi baik di atas kertas, tetapi turut mempunyai hubungan sosial baik dengan rakyat akar umbi termasuk komuniti Cina setempat.
“Prestasi beliau sebagai Menteri Besar, rata-rata maklum balas kita terima adalah beliau diterima masyarakat, dia bukan sahaja menjaga hubungan dengan golongan atasan, tetapi juga dengan rakyat bawahan.
“Masyarakat Cina kagum dengan Onn Hafiz, mereka dapat rasai keikhlasan beliau mentadbir negeri ini. Dia bukan sahaja seorang pemimpin muda tetapi juga pandai membawa diri, dinamik dan tegas pada waktu sama,” katanya pada majlis kutipan dana di Pekan Nanas, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berharap kepimpinan Onn Hafiz dapat diteruskan untuk penggal kedua bagi memastikan pelbagai inisiatif yang telah dilaksana termasuklah agenda Maju Johor menjelang 2030 menjadi kenyataan.
“Beliaudiberikan satu penggal untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menaikkan taraf hidup rakyat negeri ini, penggal kedua akan memastikan usaha itu dapat diterjemah sepenuhnya menjelang tahun 2030, maka lengkap matlamat beliau.
“Siapa pemimpin seterusnya kita tak tahu, tetapi dia (Onn Hafiz) adalah pemimpin sekarang, dia telah berjaya lakukan dan apa yang penting ketika ini adalah perkara yang telah dirancang akan diteruskan, kami berharap dia dapat terus jadi pemimpin itu,” katanya.
Ka Siong turut mengakui MCA bakal mengekalkan penyandang di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya akan datang.
“Wakil rakyat MCA yang telah berjaya memberi khidmat terbaik kepada kawasan masing-masing, tiada sebab untuk kita tukar (calon dalam pilihan raya). Maklum balas diterima daripada rakyat juga positif.
“Sebagai wakil rakyat MCA, kita perlu kerap turun padang dan rajin membantu memudahkan urusan masyarakat di kawasan masing-masing, malah jentera MCA juga bersiap siaga berdepan pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










