JOHOR BAHRU: Setiap keluarga yang menetap di Kampung Melayu Majidi di sini bakal menerima Baucar Kasih Johor bernilai RM200 yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat khususnya melibatkan peniaga-peniaga tempatan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, baucar yang akan mula diagih pada Februari ini merupakan langkah strategik menggalakkan perbelanjaan di pasar awam dan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi yang merupakan tunjang ekonomi setempat.
“Program rintis ini perlu disambut dengan komitmen peniaga untuk terus meningkatkan kualiti makanan, persembahan hidangan, kebersihan premis serta layanan kepada pelanggan.
“Usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi sebagai contoh dan penanda aras pengurusan medan selera di Johor yang lebih tersusun, bersih, selesa dan mesra rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, terdahulu kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan perniagaan di kawasan berkenaan.
“Diskaun sewaan 50 peratus sehingga hujung tahun lalu telah diberi selain penambahbaikan kemudahan seperti pemasangan perangkap lalat, televisyen, serta naik taraf aspek kebersihan dan keselesaan di kawasan medan selera.
“Ini hanya satu permulaan. Insya-Allah, inisiatif ini juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain,” katanya. – UTUSAN










