Masalah banjir kilat di laluan Tanjung Rambutan-Chemor selesai

Masalah banjir kilat di laluan Tanjung Rambutan-Chemor selesai

MUHAMMAD Arafat Varisai Mahamad (tiga dari kiri) menyerahkan salinan surat maklum balas penyelesaian isu banjir kilat kepada empat pengerusi persatuan penduduk taman perumahan di Kinding, dekat Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Masalah banjir kilat di laluan Tanjung Rambutan-Chemor dalam Parlimen Tambun berdekatan kawasan perumahan sekitar Kinding di sini sejak 10 tahun lalu bakal diselesaikan sepenuhnya menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, peruntukkan tersebut akan digunakan untuk memperbaiki dan menaik taraf sistem perparitan termasuk longkang tanah yang sempit serta kerosakan pada laluan air di jalan utama.

Menurutnya, selain itu kerja-kerja pembaikan dan pelebaran sistem saliran di jalan utama lokasi berlaku banjir kilat akan dilakukan.

Beliau berkata, peruntukan untuk mengatasi masalah banjir itu diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diuruskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta lebih RM1 juta di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Banjir disebabkan sistem perparitan tidak sempurna termasuk longkang tanah yang semakin sempit dan kerosakan pada laluan air di jalan utama.

“Melalui peruntukan MBI, kerja menaik taraf longkang tanah kepada longkang konkrit akan dilaksanakan, manakala JKR pula memberi tumpuan kepada pembaikan dan pelebaran sistem saliran di jalan utama.

“Kedua-dua projek berkenaan telah diluluskan dan kerja pelaksanaan sedang berjalan serta dijangka disiapkan dalam tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taman Kinding, di sini semalam.

Menurutnya, usaha mendapatkan dana bagi mengatasi masalah banjir tersebut bermula selepas beliau turun padang bersama agensi teknikal bagi meninjau masalah banjir yang telah berlarutan lebih 10 tahun di kawasan berkenaan.

“Apabila kedua-dua komponen ini diselesaikan, masalah banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk terutama ketika musim hujan akan dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

Masalah banjir kilat tersebut menjejaskan kira-kira 3,000 penduduk di enam taman perumahan sekitar Kinding antaranya Taman Kinding Permai, Taman Kinding Hijauan, Taman Kinding Akasia, Taman Kinding Raya, Taman Kinding Flora dan Taman Kinding Perdana.

Masalah itu bukan sahaja penduduk setempat, bahkan pengguna jalan raya juga berdepan risiko apabila melalui Tanjung Rambutan-Chemor kerana air menenggelamkan jalan sehingga sejauh 500 meter dengan kedalaman menghampiri satu meter. – UTUSAN

CAPTION
MUHAMMAD Arafat Varisai Mahamad (tiga dari kiri) menyerahkan salinan surat maklum balas penyelesaian isu banjir kilat kepada empat pengerusi persatuan penduduk taman perumahan di Kinding, dekat Ipoh semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN