Mara perkasa program Ulul Albab MRSM 

Mara perkasa program Ulul Albab MRSM 

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan insentif kecemerlangan kepada wakil Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba pada Majlis Perasmian MRSM Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkasa program Ulul Albab melibatkan 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara yang dirintis sejak dua tahun lalu bagi melahirkan pelajar keluaran institusi tersebut yang seimbang intelek dan rohani.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program khatam dan huffaz al-Quran tersebut menunjukkan hasil dengan 221 pelajar terlibat mencapai keputusan cemerlang semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

“Kita boleh melihat perbezaan kualiti pelajar (MRSM) sekarang, mereka mempunyai keseimbangan intelektual dan spiritual. Keputusan SPM lalu mencerminkan kerja kuat kita semua.

“Lima MRSM berada dalam kelompok lima teratas sekolah terbaik negara,” katanya ketika berucap merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun yang turut dihadiri Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di sini, hari ini.

Pembinaan MRSM Dungun siap sepenuhnya pada November 2025 dengan pengambilan pertama 300 pelajar tingkatan satu dan empat dibuat 13 Januari lalu.

Ia adalah MRSM ke-58 di seluruh negara.

Lima MRSM terbabit ialah Tun Ghafar Baba, Pengkalan Chepa, Taiping, Gemencheh dan Kuala Kubu Bharu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, MRSM Tun Ghafar Baba muncul sebagai sekolah terbaik negara dengan 85 calon memperolehi semua A+.

Beliau berkata, beberapa MRSM Ulul Albab seperti MRSM ATM Bera dan MRSM Bagan Datuk turut menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik negara biarpun masih baru dibuka.

“Sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian ini, Mara telah menyalurkan insentif sebanyak RM100,000 kepada setiap lima MRSM yang telah menunjukkan kecemerlangan SPM.

“Saya juga berbesar hati mengumumkan kelulusan tambahan sebanyak RM650,000 kepada MRSM Tun Ghafar Baba bagi tujuan baik pulih infrastruktur dan fasiliti maktab,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×