KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuka sesi khas ‘Peace of Mind’ kepada penghutang yang berdepan masalah kewangan sempena sambutan ulang tahun ke-60 agensi itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bermula 1 Mei ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu melibatkan peminjam dalam sektor pendidikan, perniagaan dan premis perniagaan yang terkesan akibat keadaan ekonomi semasa.
Menurutnya, sesi itu juga memberi peluang kepada golongan terbabit hadir bersemuka dengan MARA bagi membincangkan jalan penyelesaian yang lebih sesuai dengan kemampuan masing-masing.
“Perkara utama yang akan dibincangkan ialah penstrukturan semula bayaran, penjadualan pembayaran dan bentuk bantuan lain yang bersesuaian.
“Kalau ada masalah datang jumpa dan kita akan berbincang macam mana untuk penstrukturan, penjadualan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meluncurkan Pertandingan Pidato Pengerusi MARA di ibu negara di sini, hari ini.
Beliau berkata, lebih 100 program disediakan sepanjang lima hari iaitu sehingga 5 Mei ini melibatkan pelbagai segmen pendidikan, keusahawanan dan perkhidmatan Mara yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Program utama lain yang akan menjadi tumpuan ialah karnival pendidikan yang dijangka menarik hampir 100,000 pengunjung, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Tambahnya, Mara juga mahu membuka akses lebih luas kepada pelajar daripada pelbagai latar pencapaian termasuk yang tidak melanjutkan pengajian ke universiti tetapi memiliki kemahiran untuk digarap menerusi TVET Mara dan GiatMara. – UTUSAN









