Malaysia perlu perkukuh keselamatan tenaga negara

Malaysia perlu perkukuh keselamatan tenaga negara

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara ini perlu memperkukuh keselamatan tenaga susulan peningkatan ketidaktentuan global, di samping kerajaan mempergiatkan hubungan dengan pelabur mengenai kepentingan memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu berkata, keselamatan tenaga kini menjadi faktor utama kepada pelabur, khususnya dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Apabila berhubung dengan pelabur, kita menekankan betapa pentingnya keselamatan tenaga pada masa akan datang.

“Malaysia bertuah kerana mempunyai bekalan elektrik yang stabil dan perkembangan seperti grid kuasa ASEAN merupakan langkah positif dalam memperkukuh keadaan ini,” katanya dalam satu temubual bersama program ‘Insight with Haslinda Amin’ oleh Bloomberg pada Selasa.

Program tersebut membincangkan perkembangan di Asia Barat, kesannya terhadap Malaysia serta langkah menangani kenaikan kos bahan api.

Beliau yang juga Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkata, krisis semasa turut menekankan kepentingan kepelbagaian sumber tenaga, apabila syarikat semakin berusaha mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.

“Ia telah mengajar banyak syarikat tentang kepentingan kepelbagaian untuk tidak terlalu bergantung kepada satu sumber tenaga sahaja.

“Kita perlu memastikan tenaga bukan sahaja mampan, tetapi juga mampu milik. Ini merupakan cabaran utama yang dihadapi kebanyakan syarikat dan kerajaan sedang merangka insentif serta dasar yang sesuai bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu,” ujarnya.

Mengulas mengenai subsidi bahan api, Tengku Zafrul mengakui mengakui kos subsidi meningkat dengan ketara, meskipun Malaysia memasuki situasi semasa dengan asas ekonomi yang kukuh, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.2 peratus tahun lalu serta inflasi rendah dan pekerjaan yang stabil.

“Subsidi bahan api untuk RON95 meningkat daripada sekitar RM700 juta sebulan sebelum ini kepada RM4 bilion dan mencecah sehingga RM7 bilion baru-baru ini, berdasarkan harga minyak semasa,” jelasnya.
Namun begitu, beliau berkata, Malaysia masih mempunyai ruang fiskal yang mencukupi, dengan defisit fiskal berkurang kepada sekitar 3.7 peratus, hampir kembali ke paras sebelum pandemik.

Jelasnya, persoalan utama ialah berapa lama krisis ini akan berlarutan dan bilakah titik pencetus untuk campur tangan akan dicapai kerana tekanan terhadap kedudukan fiskal negara adalah lebih besar jika ia berpanjangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×