Mahkamah tolak permohonan Semantan Estate - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak permohonan Semantan Estate

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) untuk mendapatkan penzahiran dokumen bagi tujuan penyediaan laporan pentaksiran ganti rugi terhadap kerajaan.

Hakim, Roslan Mat Nor membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Semantan selaku plaintif memohon penzahiran beberapa dokumen termasuk lembaran tinjauan pendapatan, dokumen ukur dan hasil tanah, pelan pengambilan tanah serta dokumen berkaitan zon guna tanah antara tahun 1956 hingga 1960.

Empat agensi dikenal pasti berkemungkinan memiliki dokumen berkenaan iaitu Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Arkib Negara serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketika membacakan alasan penghakiman ringkas, Roslan berkata, dokumen yang dimohon tidak berada dalam milikan, jagaan atau kawalan pihak kerajaan.

“Mahkamah mendapati walaupun terdapat usaha oleh plaintif untuk mendapatkan dokumen tersebut seperti yang dinyatakan dalam afidavit, rekod berkenaan tidak dapat ditemukan,” katanya.

Menurut beliau, penzahiran dokumen di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanya terpakai bagi dokumen yang berada dalam milikan atau kawalan sesuatu pihak dan tidak boleh digunakan untuk mendapatkan dokumen yang tidak wujud atau tidak berada dalam jagaan pihak berkenaan.

Dalam prosiding itu, peguam Janet Chai mewakili Semantan manakala Peguam Kanan Persekutuan, Azza Azmi mewakili kerajaan selaku defendan.

Terdahulu, Azza berhujah permohonan plaintif gagal memenuhi keperluan asas undang-undang selain tidak spesifik.

Katanya, bagi membolehkan penzahiran dokumen dibenarkan, plaintif perlu membuktikan kewujudan dokumen, kerelevanan kepada isu pertikaian, penguasaan oleh pihak yang dimohon serta keperluan dokumen tersebut.

“Plaintif hanya mengenal pasti empat agensi yang ‘mungkin’ mempunyai dokumen tanpa memperincikan jenis dokumen atau pihak sebenar yang menyimpannya.

“Hasil semakan mendapati dokumen tersebut tidak berada dalam simpanan agensi berkenaan kecuali satu dokumen yang telah dikemukakan melalui afidavit jawapan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan terdapat kekeliruan berhubung bidang kuasa agensi terlibat, khususnya Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri, bukan Persekutuan.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos dan menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave adalah milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta susulan pengambilan tanah tersebut untuk pembangunan penempatan diplomat.

Pada 2003, syarikat itu memfailkan saman atas dakwaan pencerobohan berikutan pengambilan tanah secara tidak sah.

Pada 2009, mahkamah memutuskan Semantan masih mempunyai kepentingan benefisial terhadap tanah berkenaan serta mendapati berlaku pencerobohan oleh kerajaan.

Pada 7 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memindah milik tanah tersebut kepada Semantan selepas membenarkan saman pemula syarikat itu.

Tanah di Jalan Duta itu kini menempatkan beberapa premis utama termasuk Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN