SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan wang jaminan terhadap suami kepada pelakon, Azar Azmeerah Azmi atau Azar Azmi yang ditetapkan sebelum ini dikurangkan daripada RM25,000 kepada RM21,000 dengan syarat tambahan dikekalkan.
Hakim, Mohamad Kamil Nizam membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, yang sebelum ini berdepan pertuduhan menipu dua mangsa bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan merayu agar jumlah wang jaminannya dikurangkan atas faktor kesihatan dan keperluan mendapatkan rawatan lanjut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia baru sahaja keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar di sini di sini selepas menjalani pembedahan gout.
“Saya merayu agar jaminan dikurangkan kerana perlu menjalankan ekokardiogram dan angiogram di hospital dengan kos dianggarkan antara RM9,000 hingga RM11,000.
“Selain itu, saya perlu menanggung anak-anak kerana tiada siapa yang tanggung,” katanya.
Tertuduh turut memohon tempoh untuk melantik peguam dan bersedia mematuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal memohon mahkamah agar mengekalkan jumlah jaminan RM25,000 yang ditetapkan sebelum ini kerana kes tersebut merupakan jenayah komersial serius yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut memohon jaminannya dikurangkan atas alasan sama. Bagaimanapun, Majistret Nurul Saqinah Rosli menolak rayuan tersebut dan mengekalkan jaminan sebanyak RM3,000.
Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam bagi kedua-dua pertuduhan. – UTUSAN










