Loji WtE bantu tangani krisis tenaga global

Loji WtE bantu tangani krisis tenaga global

NGA Kor Ming dan Ab. Rauf pada Majlis Pecah Tanah Loji Waste-to-Energy (WtE) di Sungai Udang, Melaka hari ini.-UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Teknologi penjanaan tenaga daripada sisa (WtE) dilihat sebagai antara penyelesaian strategik dalam menangani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, krisis berkenaan menunjukkan keperluan mendesak untuk negara beralih kepada sumber tenaga alternatif yang lebih mampan dan berdaya tahan 

“Dalam konteks global, krisis tenaga dunia menuntut kita mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan memperkukuh sumber tenaga boleh baharu seperti waste-to-energy,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap pada Majlis Pecah Tanah Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad, Syahrunizam Samsudin.

Sementara itu, katanya, loji WtE Sungai Udang merupakan projek kedua seumpamanya di negara ini dan sebahagian daripada 18 projek yang dirancang di seluruh negara.

“Kerajaan merancang membangunkan 18 loji WtE bagi memastikan sisa pepejal dapat ditukar kepada sumber tenaga, sekali gus meningkatkan keselamatan tenaga negara dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, projek di Melaka itu dijangka mampu merawat sehingga 1,000 tan sisa pepejal sehari dan menjana 22 megawatt tenaga, yang boleh membekalkan elektrik kepada kira-kira 46,000 isi rumah.

Menurutnya, projek tersebut melibatkan pelaburan berjumlah RM660 juta dan dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya pada tahun 2029.

“Loji ini akan beroperasi di bawah tempoh konsesi selama 34 tahun termasuk tiga tahun tempoh pembinaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN