Lima individu sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api di Threads disiasat

Lima individu sebar maklumat palsu kenaikan harga bahan api di Threads disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima individu dipercayai menyebarkan maklumat palsu berhubung kenaikan harga bahan api petrol dan diesel di Threads disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC berkata, daripada jumlah itu, tiga daripada mereka telah dipanggil bagi rakaman percakapan untuk membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan maklumat aduan diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pengguna.

“Hasil semakan lanjut mendapati pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.

“Susulan itu, MCMC turut menerima aduan daripada pihak berkenaan (Buletin TV3) yang menegaskan bahawa kandungan palsu yang tular tersebut bukan daripada mereka dan dipercayai dilakukan oleh pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Ujarnya, MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial bagi tujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

“Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam,” katanya.

Media semalam melaporkan kerajaan meminta pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta MCMC mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berkaitan harga minyak dan elektrik yang dikesan semakin berleluasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, MCMC telah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu berkaitan isu berkenaan di media sosial.

Beliau dilaporkan berkata, penyebaran maklumat tidak benar itu berlaku ketika negara berdepan cabaran luar biasa susulan krisis tenaga global sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan mengelirukan rakyat.

“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan kerenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat, berapa banyak berita-berita palsu tentang kenaikan harga minyak, tentang kenaikan harga barang kerana dasar-dasar yang tidak benar,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN